Sebaik sahaja saya duduk di meja makan di kantin, seorang rakan sekerja ringan mulut bertanya,"Bagaimana dengan rumah baru? Sudah penuhkah isi rumah?"
Saya cuma tersenyum teringatkan mereka semua tertanya-tanya keadaan rumah baru saya yang kini saya duduki seorang diri. Mahu ber'uzlah', mengurangkan percakapan sia-sia dan yang sebetulnya dijemput tuhan untuk berpindah melalui mimpi dan gerak hati (walaupun ramai yang menyangka saya berjenaka apabila saya mengatakan datang seru dari mimpi kerana perpindahan saya sangatlah tiba-tiba dan tak ada pucuk pangkal, beyond explanation).
"Tak beli apa pun. Beli tilam sahaja. Mesin basuh pun tak ada. Yang lain macam orang bujang la. Buku–buku saja penuh rumah saya. Hihi"
Sebetulnya duduk di rumah baru itu sangat mencabar minda, fizikal dan ekonomi saya kerana tinggal seorang diri dan menuntut pengorbanan dari segi kehendak duniawi.
Di rumah lama, saya berkongsi dengan rakan-rakan, kelengkapan rumah semuanya lengkap, kerana masing-masing membeli bahagian masing-masing memenuhkan isi rumah.
Rumah lama juga sangat dekat dengan tempat kerja sampai hanya jalan kaki ke tempat kerja. Rumah baru lebih jauh, dan saya pula pergi ke tempat kerja sehari kadang-kadang berkali-kali untuk program itu dan ini dari pagi sampai ke malam, maknanya minyak kereta pun berkali-kali gandalah jadinya.
Berpindah ke rumah baru ibarat memulakan kehidupan baru. Yang ada cuma televisyen yang mana piring Astronya belum saya pasang di bumbung sehingga kini (dah lebih sebulan), rak buku serta beberapa barang-barang rumah lain yang sangat basic, kalau yang lengkap itu mungkin perencah nak memasak saja.
Ibu dan ayah yang sudah beberapa kali datang meninjau-ninjau rumah baru anak mereka ada juga cuba untuk memenuhkan isi rumah, katanya agar lebih selesa tetapi saya tolak kerana takut bahawa keselesaan akan menjadikan saya lagi malas. (Ada kipas kecil pun dah rasa tak mahu bangun tidur)
Dan rasanya itulah yang cuba Allah didik, ya! Tinggalkan kegilaan dunia yang tak pernah habis dan surut. Keinginan tidak akan pernah kenyang, bisikan-bisikan akan sentiasa datang mengatakan kita perlukan itu, ini, dan lain segala-galanya yang sebetulnya cumalah kehendak yang diada-adakan.
Saya yakin inilah jalan pilihan Allah untuk saya. Tinggal di rumah kecil ini dan menggunakan rezeki kurniaan Allah untuk apa yang perlu bukan apa yang saya nak. Kenapa semua orang sangat takut hidup susah? Teruk sangatkah jadi miskin?
Kisah Nabi
Menelusuri sirah dan menyingkap hikmah disebalik kehidupan manusia agung, cinta kedua kita setelah Allah s.w.t iaitu Muhammad bin Abdullah, penghulu kita di akhirat kelak, menimbulkan persoalan-persoalan yang tidak ada penghujungnya di kotak fikiran.
Persoalan-persoalan ini membuat saya bertanya,"Dimana cacat celanya sirah ini sehingga kita gagal membuka mata seluas-luasnya mengambil iktibar serta menjadikannya panduan kehidupan?"
Jawapannya tiada. Tidak ada.
Penyempurna Akhlak
Dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah, Nabi Muhammad diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia. Jika dikaji dan diikuti dengan teliti, setiap peristiwa yang terjadi di dalam hidup baginda tidak ada yang kebetulan sebaliknya penuh dengan pengertian dan sebab musababnya.
Pengajaran di Zaman Kanak-kanak
Ketika baru dua bulan di dalam perut ibunya, Allah s.w.t telah mewafatkan ayah Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib dan apabila menginjak usia 6 tahun, satu lagi tempat bergantung iaitu ibunya Aminah telah diwafatkan Allah.
Mengapakah Allah menghilangkan kasih sayang ibu bapa daripada Muhammad ketika beliau masih kecil? Ini tidak lain tidak bukan untuk mengajar Nabi dari kecil agar cekal dalam menghadapi kehidupan. Tambahan lagi, kecekalan dan kekuatan jiwa inilah yang akan diperlukannya kelak dalam menghadapi penentangan penyebaran dakwahnya kelak apabila diangkat menjadi Nabi.
Percaturan Allah dalam melakar kekuatan jiwa Muhammad s.a.w juga boleh dilihat dengan pemilihan Abu Talib sebagai penjaga Nabi setelah ketiadaan ibu bapa walhal terdapat anak-anak Abdul Mutalib yang lain yang dilihat lebih mampu memelihara Nabi kerana lebih kaya dan segi harta dan wang ringgit.
Namun hak penjagaan diberikan kepada Abu Talib, iaitu antara saudara termiskin ketika itu. Abu Talib sendiri mempunyai ramai anak tetapi dengan berbesar hati memelihara Nabi Muhammad s.a.w. Ibrahnya di sini Allah juga tidak mahu lelaki istimewa yang bakal menyeru umat manusia kepada Allah menjadi seorang pemimpin yang dimanjakan dengan wang ringgit dan harta kekayaan dunia.
Mengapa? Kerana mana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu erti kesusahan dan kepayahan dalam hidup dapat menjadi seorang pemimpin yang memahami dalam erti kata benar-benar dapat menyelami hati pengikut-pengikutnya terutama yang serba daif dan kekurangan.
Berbeza dengan pemimpin hari ini yang mana pemimpinnya mempunyai harta melimpah-ruah serta rumah-rumah mewah tersergam indah laksana istana tetapi mengaku faham akan kesusahan rakyat.
Tidak sama, antara mengetahui dengan melihat, merasai, mengalami sendiri, dan menyangka anda memahami, setiap satu ini cukup berbeza pengertiannya antara satu sama lain.
Seorang pemimpin yang tidak mengamalkan gaya hidup zuhud, boleh sahaja menderma beberapa bahagian daripada hartanya kepada orang susah tetapi pulang ke rumah masih mampu tersenyum kerana masih mempunyai tilam empuk yang menyambutnya berpenat lelah bertemu rakyat.
Nabi Muhammad s.a.w tidak begitu. Malahan tidak ada orang yang lebih mengetahui pengertian kepayahan, kesusahan hidup melainkan baginda tetapi pada masa yang sama membesar sebagai individu yang cukup hebat akhlak, perlakuannya, tingkah lakunya, tutur katanya di kala dunia sekitarnya rosak remuk, redam digodam kejahiliahan manusia. Inilah manusia yang dijaga Allah s.w.t untuk memimpin kita beriman kepadaNya.
Tatkala dijaga Abu Talib, Nabi Muhammad juga tidak pernah berebut makanan dengan sepupu-sepupunya. Acapkali beliau hilang apabila tiba waktu makan, tetapi selalu menjadi yang terdahulu apabila menawarkan diri untuk membuat kerja.
Tidur dalam keadaan lapar juga merupakan satu kebiasaan bagi beliau. Indahnya akhlak Nabi adalah apabila baginda selalunya lebih lapar daripada sahabat-sahabat tetapi apabila ada yang menawarkan makanan, baginda tidak sanggup kenyang sendirian walaupun makanan itu hanya cukup untuk beliau dan beberapa orang sahabat sahaja sebenarnya.
Rahsia
Sedarkah kita sejak dari awal kehidupan Nabi Muhammad s.a.w, Allah telah melukiskan sebuah kisah yang mana mengajar kita keyatiman itu bukan satu keaiban, kemiskinan itu tidak bermakna kemelaratan, dan kekurangan itu bukan satu kelemahan tetapi sumber kekuatan, kecekalan, acuan hebat dalam mencorak akhlak agung yang menjadi suri teladan sekalian umat.
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu" (Al-Ahzab:21)
Lalu siapa yang mengajar kita bahawa miskin itu hina? Bahawa miskin itu rendah darjatnya? Bahawa kekurangan itu kecacatan. Tidakkah kita sedang ditipu oleh ideologi yang hebat menggasak ketamadunan manusia hari ini bahawa kaya bisa membuat kita bahagia, kaya bisa membuat kita dipandang mulia, kaya dan keselesaan hidup itu segala-galanya. Kita diajar malu menjadi miskin.
Mana mungkin Allah terlupa menyebutkan ini di dalam kitabNya seandainya inilah tujuan kita dijadikan, seandainya inilah kiblat tujuan kita dalam kehidupan ini, menjadi kaya sekaya-kayanya.
Kita takut dengan bayang-bayang kesusahan padahal itulah sebenarnya jalan untuk berkenalan dengan kisah hebat seorang rasul ulung walaupun tidak mungkin dapat kita rasai kesusahan seperti baginda.
An eye-opener
Perjalanan saya ke kawasan perumahan (di sebuah perkampungan terpencil), seorang pelajar yang amat akrab dengan saya membuka mata saya dengan lebih luas. Tidak saya sangka, rumah-rumah mereka terletak begitu dekat antara satu sama lain, persis kisah-kisah sinetron dari seberang yang ditonton dalam televisyen.
Dari luar, terpancar jelas kehidupan mereka serba kekurangan dan mereka ditinggal kemewahan moden yang telah menjadi darah daging di dunia luar.
Tidak lama kemudian ibu pelajar tersebut muncul, riak wajahnya hiba, barangkali terharu saya datang menjemput anaknya sehingga ke kampung mereka yang jauh dari bandar. Ketika bersalaman, terasa hangat tangan kasih seorang ibu mengharap saya menjaga anaknya seperti dia menjaganya setelah menitipkan pelajar itu kepada saya. Dia seakan-akan tidak mahu melepaskan tangan saya.
"Cikgu datanglah ke rumah nanti. Cikgu tidur di rumah kami ya?"
Ketika itu menjalar sejenis perasaan di hati saya, mungkin kagum pada masa yang sama terharu dan sebak. Teringat saya, pada hari sebelumnya pun pelajar itu beriya-iya mengajak saya bermalam di rumahnya.
"InsyaAllah lain kali saya datang ke rumah. Hari ni dah tak sempat. Sebab pengajian bermula 9 pagi, sekarang pun dah nak pukul 9"
Setelah ibu dah ayah itu melambai-lambai, kereta saya menderu laju memecah laluan sunyi ke bandar.
Sepanjang perjalanan ke masjid, perasaan saya jadi tidak menentu. Fikiran pula melayang jauh. Saya malu. Saya malu dengan kejahilan saya sendiri. Saya pernah malu dan berasa rendah diri kerana satu ketika dulu saya pernah merasa malu menjemput sahabat ke rumah kerana rumah saya tidak sebesar rumah mereka.
Di manakah kesyukuranku, ya Allah. Ceteknya akalku. Besarnya hati mereka. Ya Allah janganlah kiranya kau membiarkan dunia mengotorkan hati mereka yang bersih ini.
Penutup
Seandainya pintu hijrah terbuka, berhijrahlah. Berhijrahlah kerana Allah. Berhijrahlah kepada Allah. Tidak usah takut kepada kesusahan, kekurangan, kesempitan atau kesulitan. Bukankah rezeki itu milik Allah dan Allah juga yang mencukupkanmu?
Tidak pernahkah kau mendengar orang yang terasa kurang, sempit, sulit di dalam kecukupan malah kemewahan lantas merasa hidup kosong dan tidak berguna?
Ya Allah jauhilah kami dari tergolong dalam golongan sebegitu. Amin.
No comments:
Post a Comment